
Malaysia kaya bangsa, kaya budaya
Hari ini di pantai Geting berlangsungnya festival kesenian rakyat negeri Kelantan. Pelbagai acara diadakan bermula 11 – 13 Julai 2019. Pantai Geting ini terletak di jajahan Tumpat, Kelantan.
Ciktima hanya berkesempatan pergi pada hari kedua festival berlangsung. Sampai di tempat kejadian hampir pukul 10.00 pagi, pantai Geting sudah pun dibanjiri penduduk tempatan. Festival yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan turut dijayakan bersama beberapa badan-badan kerajaan persekutuan dan agensi swasta.
Pertandingan rebana dan gertuk kelapa
Menghampiri jam 10.00 , pertandingan rebana diadakan. Beberapa pasukan mengambil bahagian. Ciktima sempat merakamkan aksi mereka yang hebat. Selama ini hanya mendengar nama rebana, hari ini berpeluang melihat sendiri.
Pertandingan diteruskan dengan acara berasaskan alat muzik gertuk kelapa. betapa kreatif nenek moyang bangsa di nusantara mencipta alat muzik sebagai hiburan. Alat muzik ini kemudian dijadikan sebagai seni warisan dan lambang identiti bangsa yang harus dipelihara generasi mendatang dengan sebaiknya.

Gerai-gerai yang Menarik
Selain gerai-gerai makanan yang menjual makanan, pakaian dan minyak wangi ; terdapat gerai-gerai yang sangat menarik perhatian ciktima. Antara contoh gerai adalah gerai yang memaparkan warisan negara. Gerai ini menyediakan maklumat dan replika barangbarang warisan. Terdapat juga alat-alat tradisional yang sukar dijumpai dijual di gerai ini. Malah terdapat demonstrasi bagaimana masyarakat zaman dahulu membentuk besi untuk dijadikan sebagai senjata tertentu untuk kehidupan harian.
Terdapat juga gerai-gerai dari badan contohnya LPKKN, Jabatan Perangkaan Negara dan van bergerak MAIK. Sektor kesihatan seperti bahagian pergigian turut mengambil bahagian dengan menyediakan klinik pergigian bergerak. Ciktima baru lepas makan jadi tidak pergi memeriksa gigi. Lagi pun ciktima memang ada ketakutan sedikit jumpa doktor gigi.


Ciktima pulang sebelum azan zohor berkumandang. Festival seperti ini sangat menarik hati ciktima sementelahan ciktima sukakan sejarah, kesenian dan kebudayaan. Dahulu jika ada festival yang mengandungi acara persembahan dari pelbagai bangsa di Malaysia; ciktima tidak akan melepaskan peluang untuk menonton.
Diharap festival seperti ini dapat dijalankan di masa-masa akan datang dengan hebahan yang lebih meluas.
Akar budaya bersendi syariat.
Teguh watan harmoni bermasyarakat.