
Hari ini ciktima diizinkan Allah untuk menghadiri satu slot dari banyak -banyak slot Hari Sayyidatina Khadijah 2019. Hari Sayyidatina Khadijah ini dianjurkan oleh kerajaan negeri Kelantan hampir setiap tahun. Tahun ini Hari Sayyidatina Khadijah dijalankan secara besar-besaran dengan menjemput beberapa delegasi dari luar negara. Pada tahun ini ia diaadakan di Hotel Grandriver View bertempat di Kota Bharu
Slot pagi 26 Jun 2019 ini diisi dengan beberapa acara. Ia dimulai dengan slot ceramah oleh AlFadhilah Ustazah Asma’ binti Harun. Ceramah khas untuk wanita ini bertajuk ‘Agar Dirimu Semulia Khadijah’.

Ianya satu pengalaman baru kepada ciktima. Selama ini selalu tonton ceramah ustazah Asma’di media sosial facebook sahaja. Banyak tips yang ustazah kongsikan. Ada sedikit yang ciktima sempat salin dan akan dikongsikan di sini.
Agar dirimu semulia Khadijah
Sayyidatina Khadijah adalah seorang wanita mulia dan anggun yang menjadi bidadari pertama dalam hidup Nabi Muhammad S. A. W. Diceritakan Sayyidatina Khadijah adalah wanita hartawan yang terkenal dizamannya dengan kemuliaan akhlak dan kejelitaan paras rupa. Kesempurnaan seorang Khadijah menjadikan beliau ibarat bunga yang mekar mewangi yang menjadi idaman setiap orang. Namun begitu Khadijah adalah wanita yang memelihara kesucian dan maruah diri sehingga digelar At-Thohirah.

Antara tips yang dikongsikan ustazah inspirasi dari keimanan Sayyidatina Khadijah adalah sentiasa bersabar dan istiqamah. Diceritakan Sayyidatina Khadijah adalah seorang isteri yang tinggi kesabarannya dan setia. Beliau tidak pernah mempertikaikan ketika Rasulullah S.A.W. pergi beruzlah untuk mengisi fitrah manusia yang sentiasa ingin bertuhan. Ketika dalam tempoh sebelum menerima wahyu, Rasulullah S.A.W. biasa beruzlah di gua dan akan dibekalkan makanan oleh Sayyidatina Khadijah.
Perasmian Hari Sayyidatina Khadijah
Perasmian Hari Sayyidatina Khadijah penuh dengan simbolik dan kesenian. Teruja hati ciktima menonton perarakan masuk seorang gadis yang dihias bagaikan puteri, diarak di atas tandu oleh jejaka-jejaka yang berpakaian bagaikan panglima. Inilah keunikan adat bangsa Melayu yang harus dijaga rapi agar tidak ditelan zaman.
Cenderamata Menarik Hati
Usai majlis, tetamu dihiburkan dengan pemberian cenderamata yang sangat menarik. Adat pertemuan; pasti ada perpisahan. Pihak penganjur telah menghadiahkan tetamu dengan anak pokok pisang Jelai Berangan. Anak pokok pisang ini ditanam dengan cara hortikultur. Selepas dua minggu, barulah boleh dipindah ke medium tanaman yang lebih luas.

Ciktima sangat gembira dapat hadir ke program ini. Semoga Allah membuka peluang untuk ciktima hadir di program-program seperti ini lagi.
Kalau ada sumur di ladang
Boleh saya menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.