Betapa kosong hari ini;
tanpa kamu wahai ayah kesayanganku
Kelas berjalan pertama kali tanpa kamu,
duhai ayahanda.
Di mana-mana ku lihat kamu
tangis lebat dalam hati
Mendung galau di luar menyantuni sebak sesak dadaku.
Abah,
Mereka memberitahu semua akan biasa-biasa seiring waktu.
Semua itu hanyalah santun tutur yang tidak bisa dibuktikan sehingga saat ini
Aksara yang dipilih hanyalah untuk cuba menanam tunas sabar dalam hati;
Aksara yang dipilih hanyalah untuk membenihkan kekuatan dalam jiwa yang sedang runtuh;
Aksara yang dipilih hanyalah untuk menyebarkan bunga redha dalam diri seorang hamba Illahi yang cuba untuk terus berdiri teguh.
Duhai ayahandaku sang buah hati kami,
Pemergianmu mengajar kami abah selama-lamanya hanya pinjaman.
Dari saat pertama kami melihatmu, abah sememangnya pinjaman dari Allah.
Namun aku hanya menyedari saat jasadmu tidak lagi bernadi
Sedar dengan sebenar-benar kesedaran
Sedar secara hakiki; bukan lagi secara majazi,
Lebih tepat lagi, mengaku dengan penuh keimanan
Sentapan dari Tuhan yang membuatkan ku
Melafazkan dengan lidah: Abah hanyalah pinjaman dari Allah.
Mengakui hakikatnya dalam hati: Abah selamanya pinjaman dari Allah.
Mebuktikan dengan perbuatan: Abah hakikatnya dari saat pertama adalah pinjaman dari Allah.
Tunas sabar membuatku taat sabda Nabi S.A.W.
Benih kekuatan membuatku cuba mencantumkan kembali perca-perca jiwa yang tidak akan pernah lengkap sampai bila-bila
Bunga redha membuatkan ku yakin bahawa kita akan berkumpul kembali dalam syurga selagi kita di atas jalanNya yang benar sehinggan nafas terakhir, semestinya dengan belas rahmatNya.
Abah, sehingga bertemu kembali abah. Rindu ini benar-benar membunuhku. Tanpa luka. Tanpa darah.
Semoga Allah izinkan abah menjadi ‘mutaqabilin’. ‘Mutaqabilin yang akan menyambut kami bila sampai masa Allah kata “ya, ini saatnya”. Semoga kami semua mengakhiri hayat kami dengan syahadah yang mulia. Laila ha illallah Muhammadarrasulullah. InsyaAllah. Setiap saat bernafas dalam akidah yang benar,dengan bimbingan dariNya. InsyaAllah.
Terima kasih Allah untuk pinjaman yang benar-benar indah ini.
Abah, Ngah rindu.